Saturday, December 13, 2008

Wahai dikau

Wahai dikau
Aku akan lebih memahami
Kiranya aku sempat
Berikan aku masa
Sesaat cuma

Wahai dikau
Sering aku menghitung
Butiran pasir di pantai
Waktu senjakala
Menanti mentari pulang

Wahai dikau
Hati ini gusar gesah
Diri ini malu kesah
Jiwaku dirantai resah
Terlalu ingin aku pasrah

Wahai dikau
Aku merenung tajam
Dalam ke anak matamu
Kerna kuingin tikamkan
Rasa cinta ini

Wahai dikau
Belenggu hidup meronta
Kasih dipaksa lara
Aku gigil menggila
Mengucap kata entah apa

Wahai dikau
Sayang yang kurasa
Rindu yang ku terseksa
Kasih yang ku rana
Semuanya bagai ketulan ais

Wahai dikau
Aku terkaku paku
Aku terdiam kelu
Aku terselimut baldu
Dalam pelukanmu

Wahai dikau
Aku tetap akan berlari
Dan terus menerus mencari
Dikau kasih kekasih hati
Di mana sahaja aku berdiri

Dan langit merah marah
Dan guruh berdentum bersyarah
Dan kilat menyabung sambung
Dan rumah retak segertak
Dan tanah merekah bongkah
Dan air menyiram seram
Dan sungai melaju salju
Dan lautan bergelora mara
Dan ombak membadai ganas
Dan aku yang masih mengira butiran pasir di pantai
Dibuli sekuali alam
Aku diratah patah
Hatiku punah
Dan cintaku berkecai berancai
Aku terdampar di pantai itu
Sambil dikuburkan tentera semut dan burung

No comments: